April 05, 2012

Chelsea Akan Bertemu Barcelona

 Chelsea Jumpa Barcelona
WAKIL tunggal Liga Perdana Inggeris, Chelsea menempah pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara dengan juara bertahan, Barcelona selepas mereka menewaskan kelab Portugal, Benfica 2-1 pada aksi suku akhir kedua, awal pagi tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea mendahului menerusi sepakan penalti Frank Lampard pada minit ke-21 sebelum Benfica menyamakan kedudukan hasil jaringan Javi Garcia pada minit ke-85. Raul Meireles memastikan kemaraan Chelsea dengan gol kemenangan pada minit ke-90.

Chelsea mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-1 selepas mereka turut menang 1-0 pada suku akhir pertama di tempat lawan, sekali gus dijadual berdepan Barcelona di separuh akhir selepas juara bertahan dari Sepanyol itu menyingkirkan AC Milan, kelmarin.
“Kami sedar kami berdepan satu perlawanan yang sukar biarpun beraksi di laman sendiri. Ia terbukti sepanjang perlawanan dan gol kedua kami itu benar-benar mematikan terus harapan pasukan lawan. Mereka masih berpeluang ketika kedudukan terikat 1-1,” kata pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo.

Sementara itu, Real Madrid turut ke separuh akhir selepas menewaskan Apoel Nicosia 5-2 di Santiago Bernabeu dan mara menerusi agregat 8-2 untuk berdepan kelab Jerman, Bayern Munich.

Gol-gol Real pada aksi suku akhir kedua, awal pagi tadi dijaringkan Cristiano Ronaldo (26 & 75), Kaka (36), Jose Maria Callejon (80) dan Angel Di Maria (84) manakala dua gol Apoel disumbang Gustavo Manduca (67) dan sepakan penalti Esteban Solari (82).
“Secara jujur, saya tak rasa final bakal menemukan Real dan Chelsea. Ia mungkin Bayern atau Barca. Saya cuma tak rasa ia Real dan Chelsea,” kata jurulatih Real, Jose Mourinho yang juga bekas pengurus Chelsea.